Pada suatu hari, ketika Abu Amr seorang ahli tafsir terkemuka sedang mengajar al-Quran, tidak disangka-sangka datang seorang pemuda tampan turut serta mendengarnya. Abu Amr terpesona memandang pemuda itu dan secara mendadak lupa akan setiap perkataan dan huruf dalam al-Quran. Ia sangat menyesal dan gelisah kerana perbuatannya itu. Dalam keadaan seperti ini ia pergi menemui Hasan dari Basrah untuk mengadukan kegelisahan hatinya.
“Guru,” Abu Amr berkata sambil menangis dengan sedih. “Begitulah kejadiannya. Setiap perkataan dan huruf al-Quran telah hilang dari ingatanku.”
Hasan begitu terharu mendengar penjelasan Abu Amr.
“Sekarang adalah musim haji.” Hasan berkata kepadanya. “Pergilah ke tanah suci dan tunaikanlah ibadah haji. Sesudah itu pergilah ke Masjid Khaid. Di sana engkau akan bertemu dengan seorang tua. Jangan engkau terus menegurnya tetapi tunggulah sehingga keasyikannya beribadah selesai. Setelah itu barulah engkau minta kepadanya agar ia mahu mendoakanmu.”
Abu Amr menurut nasihat Hasan. Di satu sudut ruangan Masjid Khaif, Abu Amr melihat seorang tua yang patut dimuliakan dan beberapa orang duduk mengelilinginya. Beberapa saat kemudian masuklah seorang lelaki yang berpakaian putih bersih. Orang-orang itu memberi jalan kepadanya, mengucapkan salam dan setelah itu mereka pun berbincang dengannya. Ketika waktu solat telah tiba, lelaki tersebut meminta diri untuk meninggalkan tempat itu. Tidak berapa lama kemudian yang lainnya pun pergi sehingga tinggal di tempat itu hanyalah orang tua tadi.
Abu Amr menghampirinya dan mengucapkan salam.
“Dengan nama Allah, tolonglah diriku ini.” Abu Amr berkata sambil menangis. Kemudian ia menerangkan masalah yang dihadapinya. Orang tua itu sangat bersimpati mendengar pengaduan Abu Amr tersebut lalu mengangkat kepalanya dan berdoa. Abu Amr berkata, “Semua perkataan dan huruf al-Quran telah dapat kuingat kembali. Lantas aku bersujud di depannya kerana begitu bersyukur.”
“Siapakah yang menyuruhmu untuk bertemu denganku?” Orang tua itu bertanya kepada Abu Amr.
“Hasan dari Basrah,” jawab Abu Amr.
“Jika seseorang telah mempunyai imam seperti Hasan, mengapa ia memerlukan imam yang lain? Tapi baiklah, Hasan telah menunjukkan siapa diriku ini dan kini kutunjukkan siapakah dia sebenarnya. Ia telah membuka selubung diriku dan kini kubuka pula selubung dirinya.” Kemudian orang tua itu berkata lagi, “Lelaki yang berjubah putih tadi, yang datang ke sini setelah waktu solat Asar dan yang terlebih dahulu meninggalkan tempat ini serta dihormati oleh orang-orang lain tadi, adalah Hasan. Setiap hari setelah melakukan solat Asar di Basrah ia datang ke sini, berbincang-bincang bersamaku dan kembali semula ke Basrah untuk solat Maghrib. Jika seseorang telah mempunyai imam seperti Hasan, mengapa is masih perlu memohonkan doa dariku ini?”